Memaparkan catatan dengan label ilmu tajwid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ilmu tajwid. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Ogos 2013

Tingkatan bacaan Al-Quran

Terdapat empat tingkatan atau martabat bacaan Al-Quran iaitu bacaan dari segi cepat atau perlahan:


1. At-Tartil
Bacaan yang perlahan-lahan,tenang dan dan melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat serta menurut hukum-hukum bacaan tajwid dengan sempurna, dan merenung makna, hukum dan pengajaran daripada ayat. Tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang sudah mengenal makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum-hukum tajwid. Tingkatan bacaan ini adalah lebih baik dan lebih diutamakan,berdasarkan firman Allah SWT:

maknanya: Telah kami (Allah) membacanya (Al-Quran) kepadamu (muhammad) secara tartil. Surah Al-Furqan ayat 32.



2. At-Tahqiq
Bacaannya seperti tartil cuma lebih lambat dan perlahan, seperti membetulkan bacaan huruf daripada makhrajnya, menepatkan kadar bacaan mad dan dengung, tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang baru belajar membaca Al-Quran supaya dapat melatih lidah menyebut huruf dan sifat huruf dengan tepat dan betul.



3. Al-Hadar
Bacaan yang cepat serta memelihara hukum-hukum bacaan tajwid. Tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang telah menghafal Al-Quran,supaya mereka dapat mengulangi bacaannya dalam masa yang singkat.



4. At-Tadwir
Bacaan yang pertengahan antara tingkatan bacaan tartil dan hadar,serta memelihara hukum-hukum tajwid.



[Rujuk buku Tajwid Al-Quran Rasm 'Uthmani]

Ahad, 14 Julai 2013

Pengenalan Ilmu Tajwid



Sebelum mulai mempelajari ilmu tajwid sebaiknya mengetahui lebih dahulu bahawa setiap ilmu ada sepuluh asas yang menjadi dasar pemikiran kita. Berikutnya dikemukakan sepuluh asas ilmu tajwid.

1. Pengertian tajwid menurut bahasa: Memperelokkan sesuatu.  
 Menurut istilah ilmu tajwid: Melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul serta memenuhi hak-hak setiap huruf yakni sifat aslinya, dan mustahaknya yakni sifat mendatangnya.

2. Hukumnya: Mempelajari ilmu tajwid adalah fardhu kifayah dan mengamalkannya yakni membaca Al-Quran dengan bertajwid adalah fardhu 'ain bagi setiap muslimin dan muslimat yang mukallaf.

3. Tumpuan perbincangannya: Pada kalimat-kalimat Al-Quran. 

4. Kelebihannya: Ia adalah semulia-mulia ilmu kerana ia langsung berkaitan dengan kitab Allah Al-Quran Al-Karim, berdasarkan sepotong Hadist Rasululllah SAW. Maksudnya: Daripada 'Uthman bin 'Affan R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya.                                                                                                                                                Riwayat Imam Bukhari

5. Penyusunnya: Imam-imam qira'at.

6. Faedahnya: Mencapai kejayaan dan kebahagian serta mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. In Shaa Allah.

7. Dalilnya: Dari kitab Al-Quran dan Hadist Rasululllah SAW.                                                                                                Allah SWT berfirman: "Bacalah Al-Quran itu dengan secara tartil."                                                                                     Surah Al-Muzzammil ayat 4.
Tartil iaitu bacaan lambat dan tenang serta melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul dan memenuhi hak sifat asli dan sifat mendatang pada huruf yang berkenaan dan memelihara segala hukum tajwid serta merenung maknanya.
dan Hadits pula. Daripada Zaid bin Thabit R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda: " Sesungguhnya Allah SWT menyukai hambaNya membaca Al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan.                                                                                                                                                                          Riwayat Ibnu Khuzaimah.
8. Namanya: Ilmu tajwid.

9. Masalah yang diperbincangkannya: Mengenai kaedah-kaedah dan cara-cara bacaannya secara keseluruhan yang memberi pengertian hukum-hukum cabangan.

10. Matlamatnya: Memelihara lidah daripada kesalahan membaca ayat-ayat  suci AL-Quran pada ketika membacanya. Membaca sejajar dengan penurunannya yang sebenar dari Allah SWT.

[Rujuk buku Tajwid Al-Quran Rasm 'Uthmani]